Tuesday, April 8, 2008

Arsenal ada kualiti juara - Wenger


WENGER (kanan) memberi arahan kepada Cesc Fabregas ketika sesi latihan menjelang pertemuan menentang Liverpool awal pagi esok.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkan barisannya memiliki kualiti bagi merangkul gelaran Liga Juara-Juara musim ini.

Pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi esok, anak buah Wenger akan turun selaku pasukan bukan pilihan selepas mereka sekadar seri 1-1 dengan Liverpool dalam pertemuan pertama di Stadium Emirates minggu lalu.

Bagaimanapun, Wenger menolak dakwaan bahawa peluang anak buahnya untuk mara ke saingan separuh akhir sudah tertutup.

"Masih terlalu awal untuk membuat ramalan tentang kedudukan kami musim ini tetapi saya tahu kami mampu layak (ke separuh akhir) kerana kami memiliki kualiti melakukannya.

"Kami telah menunjukkan peningkatan berbanding musim lalu kerana kami telah memberi saingan sejak awal musim. Kini kami berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Liga Juara-Juara.

"Pemain muda telah melakukan tugas dengan cukup baik. Sekarang kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi aksi ini.

"Kami akan menampilkan aksi terbaik ketika berdepan pertahanan Liverpool yang dianggap kebal," kata Wenger.

Sementara itu, kapten Arsenal, William Gallas berkata, skuad The Gunners sudah bersedia berjuang habis-habisan pada aksi di Anfield nanti.

"Kami harus bekerja keras di Anfield tetapi itu satu perkara yang baik.

"Ini merupakan satu peluang terbaik untuk beraksi di sana dan kita akan lihat apa yang bakal berlaku. Semua pemain sudah bersedia menghadapi perlawanan ini," jelas Gallas.

No comments:

Post a Comment