Friday, April 4, 2008

Wenger akui peluang seimbang


LONDON - Arsene Wenger mengakui peluang Arsenal dan Liverpool mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara masih terbuka.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Emirates kelmarin, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri 1-1.

Penyerang Liverpool, Dirk Kuyt menafikan hajat Arsenal meraih kemenangan apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-26 selepas Emmanuel Adebayor meletakkan The Gunners di hadapan tiga minit sebelum itu.

Keputusan seri itu meletakkan Liverpool sebagai pasukan pilihan pada aksi kedua di Anfield Rabu ini.

Begitupun, Wenger tetap yakin beberapa anak buahnya mampu mengulangi persembahan terbaik ketika mereka menewaskan AC Milan pada aksi kalah mati di San Siro sebelum ini.

"Saya tidak menyalahkan pemain," kata pengendali Arsenal itu.

"Dalam perlawanan seperti ini, kamu tidak mungkin dapat mencipta 20 peluang, kamu cuma mencipta empat atau lima dan itulah yang kami lakukan berbanding Liverpool.

"Untuk menamatkan perlawanan seperti ini adalah sesuatu yang mengecewakan. Tetapi kami mempamerkan persembahan seperti yang diharapkan dan kami mempunyai peluang untuk memenangi perlawanan itu.

"Liverpool kurang mencipta peluang dan hanya menguasai sebahagian daripada aksi babak kedua."

Wenger turut tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan terutamanya selepas Arsenal tidak dihadiahkan sepakan penalti apabila Kuyt mengkasari Alexander Hleb di kawasan kotak penalti.

"Ia adalah jelas sepakan penalti," kata Wenger.

"Beberapa kali kejadian itu berlaku kepada kami dan ia adalah sesuatu yang sukar untuk diterima."

Sementara itu, pengurus Liverpool, Rafael Benitez berkata, dia mempunyai percaturan tersendiri bagi memerangkap Arsenal di Anfield nanti.

"Kami berada dalam di landasan terbaik," jelas pengendali dari Sepanyol itu.

"Beraksi di Anfield dan mendapat sokongan padu penyokong sendiri akan memberi satu situasi yang berbeza."

No comments:

Post a Comment